Friday, October 29, 2010

BUKAN BEGITU ADIKKU

“Umi!!!.............”, aku menjerit sepenuh hatiku. Jeritanku itu, ditemani tangisan pilu. Aku kelu dan bisu. Kesal. Apakah aku sedang bermimpi atau kenyataankah ini? Masih tercitra dibenakku, beberapa minggu yang lalu, adikku, Salina menyatakan hasratnya ingin berkahwin dengan seorang jejaka awal 20-an, yang dikenalinya dengan nama Haikal. Malam itu, seperti sediakala kami sekeluarga akan menonton televisyen bersama- sama. Namun kelakuan adikku Salina agak aneh tidak seperti sediakala. Dia seperti cacing kepanasan tidak bisa duduk diam. Sejujurnya aku teramat rindu pada adikku kerana dia menyertai PLKN dan baru sahaja seminggu berada di rumah. “ ermm, Umi, adik nak cakap sikit boleh?”, suara Salina memecah kesunyian malam itu. “ nak bagitahu apa anak umi seorang ni? mari sini duduk dekat umi. Rindu dengan umi ya,” suara Umi manja sekali menyusun bicara sambil mengarahkan adik duduk di sebelahnya. Aku hanya tersenyum melihat kemesraan Umi dan adik perempuan ku itu. Drama genre seram yang ditayangkan setiap khamis itu benar – benar menarik minatku untuk terus menonton.

“ Umi, Sal nak minta izin dengan Umi dan Walid untuk berkahwin,” suara adikku tersekat – sekat. Kami sekeluarga benar – benar terkejut dengan kenyataan yang baru sahaja adik bicarakan. Umi dengan wajah yang seakan – akan tidak percaya, memandang wajah Walid. Drama yang menarik minat aku tadi aku lupakan kerana sudah hilang selera hendak menontonnya. Apa yang lebih menarik adalah drama yang baru sahaja adikku, Salina lakonkan di depan Umi dan Walid. “ Sal, sesungguhnya berkahwin itu, wajib bagi kita umat Islam, bahkan nabi sendiri juga menyeru umatnya untuk berkahwin. Kerana apabila seseorang umat itu berkahwin, syaitan murka. Syaitan sedih apabila umat nabi berkahwin. Tapi, umur Sal masih terlalu muda untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Lagipun, Umi dan Walid merancang hendak menyuruh Sal menyambung diploma dahulu, lepas tu cari pekerjaan. Dah ada kehidupan yang stabil barulah Sal boleh kahwin. Lagipun, kita ni orang melayu, biarlah semuanya mengikut adat. Kak Soleha kan belum kahwin. Tak elok langkah bendul,” lembut Umi menolak permintaan hati adikku. Riak wajah adik seakan- akan mengerti dan meredhai penolakkan Umi. Aku bersyukur kerana adikku itu, begitu menghormati dan taat dengan keputusan Umi. “ Yalah Umi, Sal nak tidur dululah ya. Selamat malam,” adik sepertinya redha. Dia terus masuk kebiliknya tanpa sebarang bicara.

Aku merasakan sebagai seorang kakak, aku harus menjadi seorang kakak yang supportive. Tok! Tok! Tok!, “ Siapa?,” suara didalam bilik bertanya. “ kakak ni. boleh akak masuk kejap?,” lembut suaraku seolah – olah memujuk. Daun pintu dikuak perlahan. Aku masuk dan terus duduk diatas katilnya. “ Adik akak ni dah bercinta, tapi tak bagitahu kakak ya. Siapa lelaki bertuah tu?,” soalku dalam nada mengusik. “ Haikal kak. Budak satu sekolah dengan kakak dulu tu. Akak kenal kot,” adik menjawab lemah. “ Haikal? Budak kelas 4 Mawar tu ke?,” aku inginkan kepastian. “ Aah kak, dialah,” adik menjawab ringkas. Aku terkedu seketika. Haikal yang aku kenali itu bukan seorang calon suami yang baik. Jika diberi pilihan, dia adalah lelaki terakhir yang akan aku kahwini. Dia buaya darat sewaktu di sekolah dulu. Masih segar di minda fikirku, sewaktu di tingkatan 4 dahulu, aku memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Pengawas. Waktu itu, cikgu disiplin memanggil Haikal ke pejabat. Ketika itu, aku dan ketua pengawas turut dipanggil. “Kamu ni, apa nak jadi Haikal? Tiap – tiap hari bergaduh sahaja kerja kamu. Dahla selalu ponteng kelas! Minggu lepas pihak sekolah sudah bagi amaran terakhir tapi kamu tetap tidak berubah. Ini surat berhenti sekolah kamu, dan pihak sekolah dah ambil keputusan untuk buang kamu dari sekolah ini,” masih terngiang – ngiang suara Cikgu Ramli di telingaku.

Tidak! Aku takkan biarkan adikku terjebak dalam perangkap lelaki yang suka berfoya- foya itu. Aku harus menjadi seorang kakak yang baik. Aku harus segera memaklumkan kepada Umi perkara ini. “ Umi, kakak nak cakap sikit dengan Umi boleh?,” aku bertanya penuh adab kepada Umiku. “ kakak jangan bagitahu yang kakak pun nak kahwin juga. Peninglah Umi nanti,” suara Umi seakan bergurau tapi terselit ketegasan. “ Eh, tak lah Umi,” sahutku. Aku menarik tangan Umi dan mengajaknya duduk di dapur. “ Umi, kakak nak cakap pasal adik Sal,” aku memberitahu dalam nada yang seakan- akan berbisik. “ kakak, tak payah pujuk Umi. Umi takkan izinkan,” sekali lagi tafsiran Umi meleset. “ Umi, dengarlah dulu apa kakak nak cakap. Sebenarnya, kakak kenal dengan Haikal tu Umi. Dia bukan seorang lelaki yang baik untuk adik. Dia tu playboy. Kakak pernah satu sekolah dengan dia dulu, selain banyak kes disiplin dia pernah mengaku dengan cikgu kaunseling yang dia tidak menunaikan solat lima waktu dan dia tidak pernah khatam Al-Quran. Dia buta agama Umi. Macam mana dia nak bimbing adik nanti. Kita perlu selamatkan adik Umi. Dulu, kakak dia pernah masuk penjara kerana terlibat dengan dadah. Kakak syak, dia juga mengambil dadah,” aku memberitahu kenyataan itu kepada Umi. Ketika itu, Umi hanya mengalirkan airmata. Aku tertanya- tanya adakah itu airmata kesedihan ataupun airmata kesyukuran kerana kami menyedari hakikat sebenar sebelum terlambat. Selepas itu, Umi hanya membisu dan mengarahkan aku untuk tidur. Aku akur dan aku biarkan Umi sendirian di dapur. Mungkin Umi, perlukan ruang untuk bersendirian.

Keadaan di rumah agak tegang, mungkin kerana masing- masing memikirkan masalah yang melanda. Umi lebih memilih untuk berdiam. Mungkin dia sedang memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Pang! Aku terkejut oleh bunyi barang jatuh. Aku bergegas ke ruang tamu rumah. Ketika itu, berderau darahku, hampir saja aku pitam melihat sekujur tubuh Salina sedang terbaring diatas lantai. “ Astaqfirullahalazim..Umi..adik pengsan!” teriakku. Kecoh satu keluarga melihat kejadian itu. Dalam keriuhan itu, tiba-tiba adik bangun dan menjerit. “ arghhhhhhhhhhhhhh..,” sambil berlari keluar rumah. Kami sekeluarga tergamam dan mengikut rentaknya. Kami semua mengikutnya keluar rumah. Tiba- tiba adik berteriak dengan lantang dan jelas “ Aku nak kahwin! Korang faham tak?! Aku nak kahwin dengan Haikal, sebab aku dah terlanjur dengan dia. Aku dah terlanjur dengan dia, Umi!,” dalam jeritan itu terdengar esak tangis adik. Saat itu, terasa seperti wajahku ditampar dengan kuat. Mendengar kenyataan adik yang seolah- olah sengaja memalukan keluarga mencetuskan rasa marah dalam hatiku terhadap adik. Tebal muka kami sekeluarga, apatah lagi ketika kekecohan itu, semua jiran tetangga yang berdekatan masing- masing keluar dari rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku. Tercitra diwajah mereka riak – riak songsang. Pandangan yang mereka lemparkan seolah- olah keluarga aku terlalu hina dan tercela. Ketika itu, Umi dan Walid hanya menitiskan airmata. Umi hampir- hampir terjatuh. Dia hanya berdiam dan terus melangkah kedalam rumah.

Aku yang masih dalam api kemarahan menarik tangan adikku dan mengajaknya masuk. Kalau diikutkan hati aku, hendak saja aku cincanglumat adikku itu. Begitu kurang ajar sikapnya dengan kedua ibubapaku. “Umi dan Walid tak pernah didik kita macam ni dik. Kenapa adik buat macam ni kat Umi dan Walid?” aku bertanya lembut walaupun hatiku membara api kemarahan. “ Sal nak kahwin! Itu saja permintaan Sal! Umi tak adil! Sal benci Umi dengan Walid!” Sal seperti dirasuk Syaitan Iblis. Aku hanya membisu. Aku berharap agar Salina mengerti apa sebenarnya tindakan yang Umi dan Walid ambil. Semua itu untuk kebaikan dirinya. Haikal bukan lelaki yang baik. Mereka hanya bimbang hidup adik akan menjadi musibah jika berkahwin dengan Haikal. Setiap ibubapa mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tetapi, kenapa begitu sukar untuk adik mengerti kehendak hati mereka. Detik ini, aku hanya memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati adikku Salina. Dia sudah terlalu berdosa kepada Umi dan walid.

Dan hari- hari berlalu dengan kesunyian yang dihimpit oleh ketegangan. Perangai Salina semakin dasyhat. Dia mula bermasam muka dengan ibu bapaku. Semua barang yang dahulunya kami kongsi bersama diasingkan. Perkakas mandi yang dulunya kami kongsi dia asingkan untuk menunjukkan protesnya kepada keputusan Umi dan walid. Seringkali Umi cuba memulakan bicara dia hanya memalingkan muka, dan bicara yang Umi cuba ciptakan dibiarkan Gugur kebumi tanpa jawapan. Setiap malam, aku melihat titisan- titisan airmata pedih gugur dari bibir mata Umi dan Walid. Aku menyaksikan keperitan yang Umi dan Walid tanggung. Namun aku kagum dengan mereka, aku kagum dengan ketabahan mereka. Mereka tidak putus-putus memohon doa kepada Allah SWT, agar diberikan hidayah kepada adikku. Kerana rasa cinta dan kasihnya kepada Salina, Umi mengambil keputusan untuk membawa Salina berubat cara kampung. Bomoh yang mengubati Salina mengatakan bahawa, Salina telah terkena buatan lelaki durjana itu. Haikal telah membuatkan adikku tergila-gilakan dirinya. Apa dosa kami sekeluarga sehingga dia tergamak berbuat begitu kepada Salina? Kenapa harus Salina? Timbul rasa benci dalam nuraniku terhadap Haikal. Tapi aku hamba Allah yang lemah tidak bisa berbuat apa. Hanya Allah yang berhak menghukum manusia yang kejam seperti Haikal.

Dua minggu berlalu, keadaan masih seperti sediakala. Tegang. Bungkam. Sunyi. Perangai Salina pula semakin menjadi- jadi. Suatu malam, ibu mengajaknya untuk berbincang. Kami sekeluarga berbincang mengenai musibah yang menimpa ini. Ibu meminta Salina untuk memilih antara keluarga dan Haikal. Dengan wajah yang langsung tidak berdosa, dan tanpa kesal dan malu dia tersenyum seraya berkata “ Umi, Sal tetap pilih abang Haikal. Cinta sejati Sal,”. Berderau darahku mendengar kenyataan adikku Sal. Tega Salina membelakangkan keluarga demi lelaki durjana itu. Tidakkah Salina sedar cinta sejati itu, diraih hanya kepada Allah SWT sahaja. Salina benar- benar sudah hilang daripada keluarga kami. Dia sudah terlalu jauh melangkah sehingga tangan kami tidak bisa lagi menggapai jarinya. Dia sudah hanyut dalam cinta yang mengkhayalkan. Aku hanya berdoa agar Allah memaafkan adikku Salina. Umi dan Walid hanya mampu menangis melihat keadaan anaknya yang betul- betul sudah hanyut. Aku sedar dan aku tahu betapa mereka kecewa dan patah hati dengan sikap Salina. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, diberikan ilmu agama dan ilmu dunia yang boleh dikatakan cukup sempurna namun akhirnya tersungkur di jalan maksiat dan kesesatan. Jauh disudut hati Umi dan walid aku tahu mereka sentiasa memaafkan Salina.

Pon! Pon! Aku dikejutkan oleh bunyi hon yang begitu kuat dari luar rumah. Aku memandang keluar rumah dan mendapati yang ada diluar sana adalah lelaki durjana itu. Haikal. Kami sekeluarga kehairanan melihat kenderaan itu. Tanpa kuduga, dengan wajah yang bersahaja adikku Salina membawa beg galasnya yang sudah berisi pakaian. Dan aku terus menyimpulkan dia hendak lari bersama Haikal. “ Sal, Sal nak buat apa ni? Sal jangan buat Umi dan Walid macam ni. Ingat Allah Sal. Jangan pergi Sal,” raungan Umi tidak dipedulikan langsung oleh Salina. Dia terus keluar dan meluru kearah Haikal. Umi meraung- raung, menarik-narik tangan Salina. Walid juga begitu. Namun tangisan dan raungan itu tidak langsung mematahkan hasrat Salina. Dia terus masuk kedalam kereta Haikal dan dengan laju kereta Haikal meluncur ke jalan raya. Umi yang masih meraung- raung memanggil nama adikku, tiba- tiba meluru keluar kearah jalan raya. Pang! Begitu kuat hentakan itu sehingga mematahkan lamunanku. “ Umi..Umi!!!.............”, aku menjerit sepenuh hatiku. Jeritanku itu, ditemani tangisan pilu. Aku kelu dan bisu. Kesal. Apakah aku sedang bermimpi atau kenyataankah ini?

Sekujur tubuh terbaring di atas jalan raya. Tubuh itu sepertinya sudah tidak bernyawa lagi. Kelu. Hampir saja aku pitam. Aku meraung. Melihat tubuh Umi yang sudah tidak bergerak lagi. Kaku. Ku dakap tubuh bisu itu, aku meraung kepedihan. Wajah Umi bermandikan darah merah yang pekat. Aku sudah kehilangan Umi. Walid yang nyata masih terkejut dengan situasi itu hanya bungkam bisu. Hanya airmata dan pekik tangis sahaja menjawab segala persoalan pilu yang bersarang dalam sanubari masing- masing. Ketika ini, aku hanya memohon ke hadrat Ilahi agar memaafkan adikku Salina. Kerana dia aku kehilangan kasih seorang ibu. Kerana dia aku kehilangan tempat bermanja. Namun aku tahu, aku tidak bisa berdendam dengannya, kerana dia adalah adikku. Semoga Allah membuka pintu kemaafan dan kesedaran dalam diri adikku. Bukalah pintu kemaafan untuknya agar memaafkan tindakan Umi dan walid. Serta terangkanlah hatinya dengan keinsafan supaya tidak tersalahtafsir dengan tindakan Umi dan Walid. Aku mengharapkan agar Salina kembali kepada kami. Meskipun keadaan sudah berbeza tanpa Umi. Aku menanti tibanya saat dan ketika itu.

No comments:

Post a Comment