Friday, October 29, 2010

ANTARA KASIH DAN CINTA

Keheningan pagi itu, benar-benar mengungkap apa yang tergambar dalam jiwa Sakinah. Wajahnya yang begitu cantik dan anggun dengan baju pengantin berwarna merah menyerlahkan lagi keputihan wajahnya yang begitu ayu. Namun, mengapa dihari pernikahannya itu sebak dengan angkuh mencalar hatinya. Seharusnya dia bahagia di hari yang bermakna ini. Namun jelas tergambar di matanya, kesedihan yang hanya dia dan Allah yang mengerti. Sakinah bukannya tidak bahagia namun hatinya pedih, kerana apa yang diimpikannya selama ini tidak menjadi kennyataan. Sedangkan seharusnya, setiap mimpi yang disulam indah itu, haruslah berakhir dengan kenyataan yang membahagiakan. Wajahnya direnungnya dihadapan cermin. Airmatanya terus mengalir tanpa henti. “Betulkah keputusan yang aku ambil ini?” Getus nurani halusnya. Dia sendiri masih tidak pasti dan masih ragu- ragu dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Abang Faizal.

Bungkam. Pagi bahagianya hanya berteman kebisuan yang tak terjawab dek akal. Dia merenung wajahnya sekali lagi. Hatinya tertanya-tanya, mana seri pengantin di wajahnya. Renungan itu, bukan hanya renungan biasa, renungan itu menyingkap satu persatu helaian kisah silamnya yang penuh dengan noda- noda hitam. Segar masih di ingatannya, satu nama yang pernah bertakhta teguh di kalbunya. Mohammad Alif. Ya itulah nama lelaki yang pernah mengetuk pintu hatinya sehingga terkunci tanpa ada tamu yang bisa bertandang ke ruang hatinya. Alif, satu-satunya lelaki yang dicintainya dengan sepenuh jiwa dan raga. Kerana terlalu cinta, dia telah menyerahkan harta paling berharganya kepada lelaki itu. Dia mengabdikan dirinya, memperhambakan dirinya demi lelaki itu.

Pertalian yang terjalin selama tujuh tahun itu, mengunci sejuta kenangan dalam album hidup Sakinah. Selama bersama dengan Alif, mereka tinggal bersama sehingga membawa mereka kejalan yang dimurkai Allah. Mereka telah bersahabat dengan syaitan. Tanpa diduga, rasa cinta itu telah mendorong mereka untuk memilih jalan yang paling dibenci Allah. Sakinah telah menyerahkan mahkota hidupnya kepada Alif. Mereka telah terlanjur. Dan keterlanjuran itu bukan hanya sekali malah menjadi kebiasaan bagi mereka. Mereka benar-benar telah hanyut. Pernah suatu ketika Sakinah hampir-hampir mengandung. Namun, mungkin Allah masih tidak mahu menunjukkan dosa Sakinah kepada masyarakat, kandungan itu gugur. Pun begitu, Sakinah dan Alif masih tidak insaf. Mereka masih melakukan maksiat terkutuk itu. Adalah menjadi dosa besar bagi lelaki dan wanita yang bukan muhrim bersentuhan apatah lagi bersetubuh.

Tiga bulan yang lalu, apabila Sakinah pulang kerumah, ibunya bertanya soal kahwin. Sakinah pada mulanya kelu. Tetapi selepas ibunya mendesak dan mengatakan dia risau dengan keadaan Sakinah, umurnya pun sudah hampir 30 tahun. Jadi tanpa banyak soal Sakinah menyatakan bahawa dia sudah ada calon. “ Mak, Na dah ada calon sebenarnya, Abang Alif. Na dah lama kenal dia. Dah tujuh tahun Bu,” kata Sakinah. “ Kalau macam tu, suruh dia datang meminang Na cepat-cepat. Dia tu kerja apa Na?” soal ibunya. “ Pegawai pemasaran, di Syarikat Map And Globe,” jawab Sakinah ringkas. Ketika itu, hatinya sudah berbunga-bunga. Dia melihat masa depan yang bakal ditempuhinya, akan dilaluinya bersama lelaki yang paling dicintainya, Abang Alif. Itulah impian mereka berdua selama ini. “ Aku harus cepat- cepat bagitahu Abang Alif ni,” getus hatinya. Tangannya segera mencapai tas tangannya. Mencari handphone nokianya. Ditekannya butang handphonenya mencari nama Alif. Salam, Abang Alif, tengah buat apa tu? Na nak jumpa Abang Alif esok kat rumah kita. Ada hal penting Na nak bagitahu abang,” ringkas mesej yang ditaip oleh Sakinah. Tiada balasan. “ Tidur agaknya,” getus hati Sakinah menyedapkan hatinya sendiri.

Pagi itu, Sakinah bangun dan rutin biasanya, akan melihat mesej di telefon bimbitnya. Ada satu mesej. Mesej Alif. “ Na, abang pun nak jumpa Na. Ada perkara penting yang abang nak bagitahu. Jumpa kat rumah ya,” mesej Alif dibacanya dengan penuh tanda tanya. Apa perkara penting yang hendak dikhabarkan Alif kepadanya. “Mungkin dia hendak melamar aku barangkali,” getus hatinya. Pagi itu, Sakinah bergegas pulang ke rumah sewa mereka. Dengan perasaan yang dibungai bahagia dan kuntum-kuntum gembira dia melangkah yakin dan penuh harapan. Setibanya dirumah, dia disambut mesra oleh Alif yang sedang duduk di sofa ruang tamu. Namun, disebalik wajah Alif tersembunyi satu kepedihan yang hanya Sakinah dan dirinya sahaja yang mengerti. Sakinah jadi bisu. Hatinya mula menyimpul pelbagai andaian songsang. Dia sudah mula rasa kurang senang. Dia mendekati Alif dan menyentuh bahunya. “ kenapa ni sayang?” tanya Sakinah tertib dan lembut. Alif terus membisu. Hanya airmatanya sahaja yang menjawab pertanyaan Sakinah tadi. Detik itu Sakinah juga terkedu. Di benaknya terlontar satu persatu soalan aneh yang tak bisa terungkai. “ sayang, tenang. Ada apa ni? cuba bagitahu Na,” Sakinah terus memujuk.

“ Ibu abang sakit,” hanya kata-kata itu yang terluah dari bibir bisu Alif. “ Abang kena berhenti kerja, sebab tak ada siapa jaga mak kat kampung tu Na. Semua adik- beradik abang harapkan abang seorang saja. Jadi mungkin kita berdua akan jarang berjumpa lepas ni,” sambung Alif. Sakinah hanya tersenyum. Baginya, dia sudah menemui jalan penyelesaian masalah belahan jiwanya itu. “ Abang, abang jangan sedih tau. Elok sangatlah abang bagitahu masalah abang kat Na. Semalam kan, Na bagitahu yang Na ada hal penting nak bagitahu abang. Mak Na suruh abang datang melamar Na,” dengan wajah yang penuh bahagia Sakinah mengkhabarkan berita itu. Tetapi, wajah Alif makin buntu. Kenyataan Sakinah hanya dibalasnya dengan airmata yang gugur bertali arus. Sakinah jadi tidak mengerti. Bukankah seharunya berita itu, akan mengembirakan mereka berdua. Tapi kenapa Alif menangis? Pelbagai persoalan bermain di minda Sakinah.

Alif menarik nafas panjang. “ Na, sayang, abang tak boleh kahwin dengan Na. Bagi abang sikit lagi masa boleh? Mak tak bagi abang kahwin lagi. Abang ada tanggungjawab Na. Abang minta maaf banyak-banyak. Tolong bagi abang sikit masa saja lagi,” kata-kata Alif menusuk jiwanya. Ketika itu, airmata bahagia yang diciptanya tadi berubah tangisan duka. Bunga-bunga cinta yang baru sahaja memutik gugur layu. Sayu hatinya mendengar kenyataan Alif. Lalu, Sakinah memujuk jiwanya agar akur dengan permintaan Alif. Dia harus mengerti, Alif perlukan dia untuk menghadapi hari sukarnya. “Mungkin Ibu akan faham,” detak hati Sakinah. Petang yang hening itu, berlalu dengan bungkam bisu yang tak bisa dirungkaikan maknanya.

“ Mak, Na dah tanya Abang Alif semalam, dia setuju. Tapi bukan dalam masa terdekat ni. Dia minta Na bagi dia sikit masa lagi. Lagipun, dia ada tanggungjawab Mak. Mak dia tengah sakit tenat kat kampung tu. Dia kena jaga mak dia. Takkanlah dia nak kahwin, masa mak dia tengah sakit ni,” Sakinah dengan tenang memberitahu Ibunya. “ Na! Sampai bila Na nak tunggu jantan macam tu. Dia nak berapa banyak masa lagi? Dah tujuh tahun kamu berdua berkawan! Mak tak kira. Kalau dia tak nak, mak nak Na cari orang lain. Kalau Na tak mahu biar mak yang cari!” Ibunya tiba-tiba berang. Seperti dirasuk dek hantu. Sakinah terkedu melihat respon yang diberikan oleh ibunya. Bagai tak disangka-sangka, ibunya sudah menjadi seperti singa kelaparan. “ Mak, bagilah Abang Alif peluang Mak. Sikit masa saja lagi mak,” Sakinah terus merayu. Airmatanya terus gugur bertali arus. Dia semakin tidak mengerti, mengapa semua ini berlaku dengan begitu pantas tanpa ada ruang untuk dirinya berfikir? Dia semakin buntu. Sudah tidak tahu apa jalan yang harus diambilnya. Apa yang jelas sekarang, dia perlu memilih, Ibunya atau Abang Alif. “ aku cuba pujuk Abang Aliflah,” bisik hatinya.

Sakinah mencapai telefon bimbitnya di atas meja solek. Lalu menekan nombor Alif. “ Salam, Abang Alif, Na nak jumpa kejap boleh?” tanya Sakinah lembut. “ Abang ada kat rumah ni, Na datang sajalah,” jawab Alif. Setibanya dirumah, Sakinah terus memeluk Alif dan menangis tanpa henti. “ Abang, Na minta tolong sangat kat abang, kalau Abang sayangkan Na, Abang pujuklah mak abang. Kita kahwin bang. Kalau abang lambat, abang akan kehilangan Na. Mak Na, nak kahwinkan Na dengan orang lain bang,” rayu Sakinah. Namun, riak wajah Alif tidak membawa cahaya harapan untuk Sakinah. Alif hanya terdiam. Alif juga perlu memilih, ibunya atau Sakinah. Dia tidak mahu dikatakan anak derhaka jika dia memilih Sakinah, sulit juga baginya memilih ibunya kerana cintanya untuk Sakinah. Tetapi, keluarga harus diutamakan dahulu. “ Na, abang bukan tak nak kahwin dengan Na, tapi abang tak boleh ingkar perintah Mak. Abang sahaja harapan mak,tempat dia bergantung harap. Na tak kesiankan abang ke? Janganlah buat abang macam ni,” kata Alif. Ketika itu, airmata Sakinah mengalir semakin deras. Kenyataan Alif tadi benar-benar menggores jiwanya. Sesungguhnya dia kecewa kerana cinta yang mereka tanam selama bertahun, akhirnya tak menjadi. Ibaratnya tanaman yang ditanam, tetapi benihnya rosak tidak tumbuh. Pilu mengikat relung hatinya. Dia kecewa dengan sikap Alif yang terlalu mementingkan keluarganya. Sedangkan Sakinah sudah menyerahkan seluruh hartanya kepada Alif. Kini Sakinah adalah gadis yang muflis! Muflis harga diri, muflis maruah. Sakinah gadis kosong.

Suasana di rumah itu semakin tegang. Ketegangan itu mencipta bungkam yang begitu mengerunkan. Sakinah dan Alif hanya bisu. Masing-masing memikirkan keputusan yang harus dibuat. Sakinah yang lesu bingkas bangun, “ Abang, Sejujurnya Na kecewa dengan Abang. Na dah serahkan segala-galanya demi abang. Na dah tak punya apa-apa bang. Tega abang perlakukan Na macam ni. Tujuh tahun bukan suatu masa yang singkat bang! Tujuh tahun Bang! Na sayangkan hubungan kita ni. Abang lelaki, seharusnya abang perjuangkan cinta kita ni bang. Kalau betul abang sayang Na, abang akan pujuk Mak abang tu. Tapi, perlakuan abang sepertinya abang tidak sayangkan Na seperti dulu. Kenapa bang? Dah dapat madu abang buanglah sepahnya? Abang memang kejam,” bicara sendu Sakinah terhenti seketika. Alif hanya bisu. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Bukannya dia tidak cinta, tapi dilema ini sesungguhnya memerangkap dia tanpa ada jalan keluar. “ Na, abang..” bicara Alif dipintas Sakinah. “ Cukup! Semakin banyak bicara yang abang luahkan semakin sakit jiwa Na bang. Baiklah, kalau abang tak sanggup, Na redha kita putuskan perhubungan ini. Tapi Na nak abang tahu, Na sangat cintakan Abang. Tapi seperti abang juga, Na harus memilih. Dan pilihan Na, Ibu!” Sakinah menyambung bicaranya.

Sakinah berlalu pergi dalam sendu yang benar-benar menggores dukanya. Alif hanya bisu, akur dengan keputusan dan suratan cinta mereka. Mungkin itu akhirnya cinta yang mereka semai selama bertahun-tahun. Seperti kata pujangga, kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan ditengah hari. Sakinah juga akur. Dia melangkah tanpa menoleh ke belakang. Dia terus menuju destinasinya. Mungkin dia harus menunaikan impian ibunya. Melihat dia berumah tangga. Setibanya, dirumah, Sakinah disambut oleh wajah bengis ibunya. “ Kamu dari mana? Jumpa jantan tak guna tu lagi ke?” soal Ibunya. Sakinah yang masih bergelut dengan kepedihan hanya bisu dan bungkam. Dia tidak ingin mengeluarkan kata-kata yang bisa menyakiti hati ibunya. Bicara diam jalan terbaik baginya. Belum sempat kaki melangkah pintu, satu lagi suara sumbang memanah gegendang telinganya. Sakit sekali dirasakan. “ Na! Mak tanya, kenapa tak jawab?! Dah nak tunjuk lagak ke? Nak tunjuk yang Na tu dah besar dah pandai? Eh, kamu tu, ingat sikit, dulu masa kamu belajar di universiti tu, mak dah banyak habiskan duit untuk Na! Setiap bulan mak masukkan beratus-ratus dalam akaun Na. Tak payah nak tunjuk lagak dengan mak Na!,” suara ibunya semakin garang dan menusuk jiwanya. Sakinah hanya mampu menangis. Terdiam dan membisu. Dia bukan hendak tunjuk lagak, tetapi bimbang kalau-kalau bicara yang diluahnya nanti bisa merumitkan lagi keadaan.

“ Mak, Na setuju saja dengan pilihan mak. Mak pilihlah siapapun Na akan kahwin dengan pilihan Mak,” suara Sakinah tersekat- sekat. Ibunya terdiam. Sakinah yang masih teresak-esak terus meluru masuk ke kamarnya. Jiwanya begitu sayu. Begitu pedih. Dia merasa begitu jatuh dan tewas dengan dunia. “ Mungkin ini balasan dosa-dosa lampau aku,” getus nurani kecilnya. Sakinah masih termenung kosong. Sepanjang malam dia meratapi nasibnya yang begitu malang. Akhirnya dia tersedar, mungkin itu, takdirnya. Dia harus kuat. Lantas mindafikirnya, mengingati kekasih setiap orang mukmin. Allah. Dan senjata orang mukmin adalah doa. Sudah lama dia tidak berjumpa kekasihnya itu. Sudah lama dia tidak mendekatkan nuraninya dengan Allah. Dia telah lupakan Kekasih agungnya itu berkurun lamanya. “ layakkah aku memohon kepada-Nya? Aku terlalu kotor. Seluruh hatiku sudah menjadi hitam pekat dihiasi dengan noda-noda dosa. Layakkah aku? Adakah Dia menerima taubatku?” persoalan demi persoalan yang Sakinah lontarkan. Namun dia percaya, selagi ada jalan taubat, Allah akan menerimanya. Dia yakin Allah akan mendengar doanya. Dia percaya, Allah akan menerima taubatnya. Lantas Sakinah bangkit dari katilnya yang sebentar tadi lesu seperti dirinya. Lalu menunaikan pedang malamnya. Dia menunaikan solat buat kali pertama setelah bertahun-tahun alpa dengan kebahagiaan dunia.

Pagi itu, Sakinah bangun dengan kesyukuran dan senyuman ketenangan. dia telah meraih ketenangan. Dia percaya, dia akan meraih lebih banyak ketenangan selepas ini. Dia harus bertaubat dan memohon keampunan Allah. Seperti biasa, dia akan menuju ke ruang dapur untuk bersarapan. Sekali lagi dia disambut oleh wajah bengis ibunya. Namun, ketegangan wajah ibunya itu, dibalasnya dengan ketenangan senyuman. Dia tersenyum dan mengucup kening ibunya, “ selamat pagi mak,” kata Sakinah. Melihat perlakuan itu, hati ibunya menjadi sayu. Dia merasa tidak adil memperlakukan anaknya begitu. Sedangkan sebagai ibu, dia seharusnya memberi semangat untuk anaknya bukan merampas setiap semangat yang ada. Namun, ibunya masih tidak tahu apa sebenarnya yang pernah terjadi antara Sakinah dan Alif. Sakinah mengambil keputusan agar rahsia itu kekal rahsia. Biarlah dia menyelesaikannya dengan Allah di akhirat nanti. Mengalir mutiara jernih dari bibir mata ibunya. Sakinah yang kehairanan terus memeluk ibunya. “ Maafkan Na, mak. Selama ni Na, dah abaikan tanggungjawab Na kepada keluarga ni. tapi mulai detik dan saat ini, Na berjanji akan mengikut segala perintah mak. Na akan tolong mak jaga keluarga ni. Na janji mak,” terdengar esak tangis Sakinah. “ Mak minta maaf Na,” hati ibunya menjadi lembut. “ dahlah mak, mari minum, dah sejuk dah air kopi ni,” Sakinah cuba berseloroh. Ibunya tergelak kecil. Sakinah hanya tersenyum. Dia pasti senyuman dibibir ibunya, adalah senyuman kedamaian.

Sakinah semakin kuat menempuh hari-harinya. Kuntum perdamaian antara dia dan ibunya banyak memberi ketenangan untuk dirinya menilai setiap kejadian yang menimpa dirinya. Dia sedar, ibunya bukan bermaksud hendak menyiksanya. Ibu mana yang tidak ingin melihat anaknya berjaya. Hati seorang ibu sememangnya sukar diramal. Dia tahu, ibunya hanya inginkan yang terbaik untuk dirinya. Mungkin saat ini, Sakinah harus menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak. Dan kisah cintanya itu harus diluputkan dari mindanya. Ada hikmah disebalik setiap deritanya. Adalah lebih baik dia memutuskan hubungan dengan Alif jika cinta yang mereka anggap suci itu membawa mereka jauh tersasar ke lembah maksiat yang paling dibenci Allah. Sakinah tenang kini. Damai yang dirasakan itu, mungkin akan abadi. Dia tidak akan berpatah balik. Alif bukan miliknya. Mungkin Alif adalah jodoh dari syaitan yang memerangkap dirinya kelembah hina.

Tiga bulan sudah berlalu, misi ibunya mencari bakal suami untuk dirinya tetap diteruskan. Sakinah hanya akur dan redha. Mungkin itu yang terbaik untuk dirinya. “ Na, duduk sini kejap, mak ada benda nak bagitahu Na ni,” mesra sungguh suara ibunya. Dan akur dan terus mengambil posisi mengadap ibunya. “ Na kenal tak dengan Faizal? Anak Mak cik Timah kamu tu? Dia dah habis Master tahun ni. Dah jadi Pensyarah sekarang. Gaji besar tu Na,” nada suara ibunya seperti berbangga tetapi terselit sedikit sindiran. Sakinah mengerti apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh ibunya. “ Mana-manalah mak, Na setuju saja,” dengan senyuman manis Sakinah menjawab kenyataan ibunya. “ kalau macam tu kira jadilah ni?” ibunya inginkan kepastian. Sakinah hanya mengangguk setuju. Terpancar wajah ibunya yang penuh seri. Dia tahu ibunya berasa sangat lega kerana dia bakal berkahwin dengan lelaki yang boleh dikatakan berjaya dan mampu menjamin kehidupannya. Faizal, lelaki yang pernah meminatinya semasa di sekolah menengah dulu. Tidak diduga, Faizal jodohnya. Tetapi, Sakinah semakin takut, rahsia silamnya itu. Mampukah dia menunaikan kewajipannya sebagai seorang isteri? Sedangkan dirinya bukan lagi gadis yang suci. Dia adalah wanita yang hanya bertopengkan wajah suci. Didalamnya penuh dengan noda-noda hitam yang kotor. Tetapi, impian ibu harus ditunaikan.

“ Kak Na, dah siap ke belum ni?,” suara adiknya membunuh lamunannya. Cepat-cepat dia menyeka airmatanya. Sakinah sedar, dia harus tabah menghadapi hari-harinya. Selepas ini, banyak lagi dugaan yang akan ditempuhinya. Mungkin dengan Faizal dia akan temui abadinya cinta suci yang dicanang-canangkan manusia sejak azali lagi. “ Kak, pengantin lelaki dah sampai,” adiknya menyambung lagi. Dia hanya tersenyum. Namun tiada siapa yang tahu pilu yang mengikat relung hatinya, betapa dia masih mencintai Alif. Dia mengimpikan hari bahagianya ini dengan Alif. Curangkah dia andaikata dia masih mencintai Alif sedangkan dia sudah bergelar isteri Faizal?

Majlis pernikahannya disambut dengan penuh meriah. Namun senyuman yang terpancar di wajah ibunya sudah cukup membuat hati Sakinah bahagia, walaupun jauh disudut hatinya pilu merajai dasarnya. Dia tahu ibunya pasti bahagia. Abang Faizal, lelaki yang cukup sempurna untuk seorang wanita. Tetapi dirinya, masihkah mampu mencapai kesempurnaan itu? Dari kejauhan itu, dalam keriuhan gelak tawa sanak saudara, Sakinah terpandang kelibat seorang insan yang dinantikannya selama ini. Walaupun keraguan mengisi kolam hatinya namun, wajah itu benar-benar menarik minatnya untuk melihat siapakah gerangan insan itu. Sakinah cuba mendekati insan itu. Semakin dekat dan semakin hampir. Sakinah terkedu, lidahnya kelu, matanya kaku, tubuhnya lesu, sungguh tidak diduga, Alif! Alif datang ke majlis pernikahannya. Ada mutiara jernih menghiasi kolam matanya. Sakinah terduduk. Dia hanya bungkam dan diam. Semua yang hadir termasuk ibunya, Faizal dan seluruh sanak saudaranya, kehairanan melihat Sakinah dan Alif. Tiada bicara yang terluah, hanya airmata yang menjawab segala kebisuan itu. Namun, pilihan Sakinah teguh. Pendiriannya tak lentur kali ini. Mungkin cintanya bukan milik Alif! Meskipun dia mengerti bicara mata Alif namun semuanya sudah terlambat!

No comments:

Post a Comment